Subscribe News Feed Subscribe Comments

PMS Official Friendster

PMS Official Friendster
Add Kami di Friendster

Monthly Mini Project....

Tahukah anda bagaimana untuk menyelamatkan telur dari pecah apabila jatuh dari banggunan tinggi???
mudah je...cube wat ni...sgt menarik...



Perutusan Presiden PMS sesi 2008/2009


Kepimpinan baru dan Semangat Kemerdekaan


Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.


Syukur kepada Allah s.w.t kerana Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) UPSI telah berjaya melaksanakan mesyuarat agong kali ke-9 nya baru-baru ini. Terima kasih kepada semua ahli, mantan exco, penasihat persatuan, Dr. Syakirah Samsuddin dan tidak lupa kepada pihak fakulti yang sentiasa memberikan khidmat serta sokongan kepada PMS UPSI. Kepada pimpinan sesi 08/09 yang baru dilantik, tahniah dan semoga kita semua dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya.


Sebagai kepimpinan baru, kita seharusnya sedar akan amanah yang telah digalaskan kepada kita untuk sama-sama kita pikul dan memberikan khidmat yang terbaik kepada Mahasiswa mahasiswi Sains khususnya dan UPSI amnya. Kita juga harus menyedari bahawa amanah yang berat ini, akan ditanya oleh Allah di akhirat nanti. Jesteru, janganlah kita lalai dan leka dalam melaksanakan amanah ini dan semoga kita semua dilindungi olehNYA.


Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,


Bersempena bulan Ogos yang tiba ini, saya ingin kita semua mengimbas kembali perjuangan yang dimainkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan dalam merencanakan perjuangan mereka menuntut kebebasan tanah melayu pada waktu itu. Kalau kita menyorot kembali sejarah, golongan mahasiswa adalah antara golongan yang memainkan peranan besar dalam mencapai kemerdekaan. Bagaimana idealisme yang dibawa oleh mahasiswa yang pulang daripada luar negara mahupun tokoh-tokoh yang belajar di tempat-tempat pengajian di tanah melayu pada waktu itu termasuk UPSI yang dahulunya dikenali sebagai SITC, telah membawa satu semangat yang baru dan membara kepada masyarakat untuk sama-sama berjuang dengan pemimpin-pemimpin negara bagi mencapai kemerdekaan. Oleh itu, sewajarnya bagi kita menghargainya dan meneruskan semangat mahasiswa-mahasiswa terdahulu dalam kita menghadapi ’penjajah’ globalisasi yang mencengkam kini.


Akhir kata, saya ingatkan kepada diri saya sendiri dan sahabat-sahabat sekalian untuk terus berusaha dan berdoa bagi mencapai kecemerlangan bukan sahaja dalam akademik bahkan dalam pembentukan sahsiah dan peribadi kita terutamanya sebagai bakal pendidik generasi akan datang. Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.


Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-51


Akmal Bin Madzir,

Presiden,

Persatuan Mahasiswa Sains,

Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Salam Perkenalan Buat Semua Mahasiswa Sains

Assalamualaikum WBT dan salam hormat buat semua,


Alhamdulillah setinggi kesyukuran buat ALLah SWT penguasa sekelian alam atas nikmat dan bantuan dariNya, blog Persatuan Mahasiswa Sains Universiti Pendidikan Sultan Idris ini akhirnya dapat dijalankan semula setelah tertangguh begitu lama. Buat pengetahuan semua blog ini akan diterajui oleh Exco Penerbitan Dan Informasi sesi 2008/2009 dan juga Exco Kebajikan PMS sendiri. Matlamat penubuhan blog ini adalah sebagai medium alternatif bagi semua Mahasiswa Sains dalam mendapatkan maklumat serta informasi terkini berkaitan dengan Persatuan Mahasiswa Sains khususnya serta segala perkara yang berlaku disekeliling kita Insya Allah.


Selaku Mahasiswa, cuba kita perhatikan apa yang berlaku disekeliling kita, terutama di kampus kita sendiri, sikap acuh tak acuh, tidak mempedulikan hal lain, sentiasa mencengkam jiwa kebanyakan Mahasiswa. Pada mereka, segala perkara yang tidak mendatangkan apa-apa kepada mereka, hatta keuntungan mahupun kerugian, tak perlu difikirkan. Fikiran mereka hanya pada tugasan, kuliah dan buku sahaja. Ya, memang perlu semua perkara itu, kerana tanggungjawab kita selaku pelajar adalah memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan. Tapi, sejauh manakah kebenarannya, bahawa pelajar yang hanya bergelumang dengan buku-buku sahaja digelar pelajar yang berkualiti? Adakah definisi ilmu pengetahuan itu hanya kecil skopnya, yakni berhempas pulas den mendapat pointer yang tinggi dalam peperiksaan?


Definisi ilmu pengetahuan sebenarnya meliputi bidang yang sangat luas, yakni mempunyai maklumat yang luas selain dari akademik, ianya meliputi lapangan kerjaya, kebajikan, apa yang berlaku dalam senario politik tanah air semasa dan dunia, isu-isu semasa, serta beberapa perkara lagi yang sebenarnya perlu dikuasai oleh seseorang yang bergelar Mahasiswa
.Tapi sayangnya, ianya tidak dipedulikan langsung. Jika ada pihak yang cuba menyuarakan beberapa perkara yang menyentuh isu-isu yang diluar kampus, akan dilabel penentang dan sebagainya. Sedangkan budaya menyekat Mahasiswa dari menyuarakan pendirian dan pendapat mereka adalah satu perbuatan yang sebenarnya akan merugikan negara, mengapa? Kerana budaya inilah akan melahirkan generasi Mahasiswa yang lesu dan tidak bermaya. Melahirkan generasi bakal pendidik yang hidup dalam dunia sendiri yang disumbat penuh dengan hiburan yang kadangkalanya sangat melampau.


Justeru, penubuhan blog ini Insya Allah dapat memberikan sedikit informasi dan cetusan idea yang berguna dan Insya Allah mampu menyuntik sedikit pengisian ilmu kepada sahabat semua, dengan berharap akan dapat membangkitkan kita semua dari tidur lena dengan isu-isu semasa kepada sentiasa sensitif dan peka dengan segalanya yang berlaku disekeliling kita semua.

Wallahua'lam

Renovasi blog untuk seminggu

Assalamualaikum. Penggunaan blog ini akan dtangguhkan buat sementara waktu kerana beberapa renovasi yang mlibatkan html blog ini akan dilakukan. Jadi diharap para pengunjung blog untuk melawati blog sementara persatuan di pmsainsupsi.blogspot.com. Maaf atas kerumitan.

Editor

PERUTUSAN PRESIDEN PERSATUAN MAHASISWA SAINS ke-3


Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Syukur kepada Allah s.w.t dengan limpah dan rahmatnya dapat kita bertemu kembali dalam semester pertama bagi sesi pengajian 2008/2009.

Cuti semester yang panjang sebelum ini semestinya menjanjikan pelbagai perkara dan pengalaman baru buat sahabat-sahabat sekalian. Tidak lupa kepada pemergian salah seorang sahabat Fakulti Sains dan Teknologi (FST) kita daripada jurusan kimia, Mohd Suhaimi Yusoff yang telah pulang kerahmatullah pada 8 Jun 2008 yang lalu. Al-fatihah buat Allahyarham, semoga Allahyarham ditempatkan dikalangan hamba-hambaNya yang soleh.

Selamat datang juga diucapkan kepada pelajar baru FST yang telah berjaya mendaftar baru-baru ini. Anda merupakan golongan yang terpilih setelah melalui beberapa peringkat ujian yang bukan sedikit bilangan yang memohon untuk memasuki ke universiti pembukitan ilmu ini. Justeru, anda seharuslah merasa bertuah kerana terpilih.

Dalam menelusuri semester baru ini, marilah sama-sama kita menetapkan azam dan matlamat baru kita dihadapan. Sentiasalah memandu hari-hari yang berjalan ini dengan matlamat kita itu, jangan sesekali terleka. Jika terleka, cepat-cepatlah kembali kepada jalan sebetulnya. Semoga hidayah Allah sentiasa memayungi kehidupan kita.

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,

Zaman globalisasi ini menyaksikan maklumat tersebar begitu luas melalui media massa yang tiada batasan jarak dan masa. Maklumat-maklumat yang diterima ini hendaklah ditapis dan diselidiki terdahulu sebelum kita mempercayai dan bertindak dengan kefahaman kita sendiri. Allah menyebut dalam al-Quran yang maksudnya :

“Wahai orang-orang yang beriman, jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan, yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu”
(Al-Hujurat, ayat 6)

Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa agar dijauhkan daripada sebarang fitnah akhir zaman ini, samada difitnah atau memfitnah. Rasulullah juga pernah bersabda, “Tidak akan masuk syurga orang yang suka memfitnah”. Sekali lagi saya ingatkan kepada diri saya sendiri dan sahabat-sahabat sekalian untuk terus berusaha bagi mencapai kecemerlangan bukan sahaja dalam akademik bahkan dalam pembentukan sahsiah dan peribadi kita terutamanya sebagai bakal pendidik generasi akan datang. Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Tengku Abdul Ghafar B Tengku Ahmad
Presiden,
Persatuan Mahasiswa Sains (PMS),
Universiti Pendidikan Sultan Idris
.

PTPTN, Status Shariah & Kos Perkhidmatan

Terlalu ramai yang bertanya kepada saya tentang PTPTN. Saya cuba mengelak dari membuat sebarang ulasan di dalam web saya kerana mendapat info bahawa mereka sedang dalam proses islamisasi produk mereka. Bagaimanapun demi, bersikap adil kepada hukum dan ilmu, saya tiada pilihan kecuali perlu menguraikannya demi menjawab persoalan orang yang-orang yang bertanya dengan adil.

Jawapan mudah saya, apa yang dilakukan dengan 3 % sebagai kos perkhidmatan adalah riba. Bagaimanapun saya mendapat tahu bahawa,pihak PTPTN sedang berusaha untuk mengubah kepada sistem Islam cuma masih gagal mengimplementasikannya disebabkan oleh masalah sistem pengkomputeran sedia ada dan lain-lain masalah yang tidak diketahui. Saya difahamkan beberapa pakar Shariah dan bank Islam di Malaysia telah membentangkan beberapa cadangan struktur pembiayaan pelajaran baru berlandas aqad Ijarah, Bai' dan lain-lain lagi. Bagaimanapun, banyak yang menemui jalan buntu dan sebahagiannya masih dalam proses penyemakan dan penilaian.

Dari sudut Shariah, 3 % yang diletakkan sebagai kos perkhidmatan itu adalah dianggap sebagai Riba. Tidak dinafikan bahawa para ulama sedunia telah meluluskan bahawa halal bagi sesuatu pinjaman yang dibuat atas asas Qardhul Hasan mengenakan sejumlah kos perkhidmatan kepada peminjam, bagaimanapun cara yang digunakan oleh PTPTN adalah tidak menepati fatwa tersebut.

Apa itu Qard

‘Qard' dari sudut definisinya bermaksud pertukaran atau perpindahan hak milik sesuatu aset atau wang dari pemilik asal kepada pihak lain dengan syarat, pihak lain itu berkewajiban memulangkan aset atau wang yang dipinjam tersebut atau yang sama nilainya pada kemudian hari.

Dalam kata lainnya, ia adalah satu jenis pemberian hutang dalam bentuk sejumlah wang atau pinjaman barangan seperti meminjamkan kereta atau telefon bimbit kepada orang lain dengan syarat ianya dipulangkan semula pada kemudian hari.

Pinjaman atau ‘Qard' dalam Islam adalah merupakan satu kontrak yang di asaskan atas dasar bantu membantu, sukarela (tabarru') dan belas kasihan kepada individu yang memerlukan (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/353). Atas sebab itu, Islam menyanjung tinggi amalan ini sehinggakan Nabi SAW bersabda : "Barangsiapa yang melepaskan satu kesukaran saudaranya, maka Allah akan melepaskan pelbagai kesukarannya di akhirat.." (Riwayat Muslim)

Sebuah lagi hadith menyebutkan kelebihan pinjaman tanpa faedah sebagaimana hadith berikut : Dari Anas ra berkata: " bersabda Rasulullah SAW, aku telah nampak pada malam aku diperjalankan (pada malam isra' mikraj), tertulis di pintu syurga : satu sedeqah dipergandakan pahalanya sebanyak sepuluh kali, manakala ‘qard' atau pinjaman tanpa faedah digandakan sebanyak lapan belas kali ganda..." (Riwayat Ibn Majah, 2/812)

Qard ( Pinjaman ) Tidak Boleh diJadikan Asas Perniagaan

Berdasarkan asas tersebut, kontrak pinjaman ini tidak sesekali boleh dijadikan sebagai alat untuk perniagaan atau meraih keuntungan di dalam Islam. Bagi memastikan objektif kebajikan dan bantuan dalam ‘Qard' tercapai, Islam meletakkan kewajiban , bagi setiap pinjaman wang (cth : RM 5000) mestilah dipulangkan pada kemudian hari dengan jumlah yang sama tanpa sebarang tambahan dan manfaat lain yang dipaksakan atau diipersetujui. Sekiranya terdapat sebarang tambahan (cth 3 % dari jumlah RM 5000 sebagai bunga atau manfaat lain), sepakat seluruh ulama menyebut ianya termasuk dalam kategori Riba an-Nasiah yang disepakati haramnya. (Al-Jami' fi Usul al-Riba, hlm 217).

Isu kos perkhidmatan dalam pinjaman

Sungguh ramai yang mengajukan pertanyaan kepada saya berkenaan hukum kos perkhidmatan dan pengurusan yang dikenakan bagi pinjaman yang diberikan. Terdapat beberapa pihak yang cuba mengenalkan produk pinjaman yang bersifat Islam serta diberi nama "Qardhul Hasan". Istilah ‘Qardhul Hasan' merujuk kepada pinjaman tanpa sebarang faedah, ertinya peminjam hanya perlu membayar wang modal yang dipinjamnya sahaja tanpa sebarang penambahan. Ia dikira sebagai salah satu bentuk ibadat yang amat digalakkan kerana sifatnya yang membantu melepaskan orang lain dari kesukaran dan keperluan mendesak tanpa mengambil sebarang peluang atas kesusahan orang lain dengan mengenakan ‘bunga', faedah atau riba.

Walau bagaimanapun, implementasi ‘Qardul Hasan' ini kerap kali tersasar dari tujuan dan konsep asal pinjaman bersifat kebajikan hingga menjadi dwi tujuan, iaitu untuk bantuan dan meraih keuntungan disebalik nama kos perkhidmatan dan pengurusan agar ia menjadi ‘Halal' kononnya.

Sebelum membincangkan soal kos perkhidmatan ini, terlebih dahulu saya ingin membawakan keputusan Persidangan ulama antarabangsa di bawah AAOIFI (http://www.aaoifi.com) menyatakan bahawa semua faedah atau lebihan (dari jumlah yang diberi pinjam) yang telah dipersetujui atau disyaratkan di dalam kontrak atau ‘aqad' pinjaman dibuat di awal kontrak atau dikenakan ketika kelewatan pembayaran balik pinjaman sama ada dalam bentuk wang, barangan dan apa-apa manfaat adalah di larang sama sekali dan ia adalah Riba. (Shariah Standard, AAOIFI, hlm 336)

Adapun dalam hal kos perkhidmatan, Majlis Shariah AAOIFI dan hasil Keputusan Kesatuan Fiqh Islam Sedunia (dalam sidangnya yang ketiga pada 1986 M) berpendapat DIBENARKAN untuk mengenakan kos perkhidmatan dengan syarat ianya ADALAH KOS SEBENAR. Resolusi mereka juga menyebut, adalah HARAM untuk mengenakan kos yang lebih dari kos sebenar, justeru para Ulama dari persidangan tadi mewasiatkan agar cara untuk mengira dibuat setepat dan sebaiknya. Selain itu, keputusan mereka juga menyebut bahawa kos-kos tidak lansung seperti gaji pekerja, sewaan tempat dan tanggungan lain-lain sesebuah institusi itu tidak boleh dimasukkan di dalam kos pengurusan sebenar bagi sesebuah pinjaman. (Shariah Standard, AAOIFI, no 9/1, hlm 337)

Hasilnya, perlu kita fahami bahawa sebarang kos perkhidmatan dan pengurusan yang diletakkan seperti 2 %, 3 % atau 4 % dari jumlah pinjaman dengan hujjah bahawa ianya adalah kos pengurusan adalah tidak boleh diterima sama sekali. Ini adalah bentuk yang dilakukan oleh PTPTN dan lain-lain institusi yang melakukannya.

Majlis Penasihat Shariah Dunia di AAOIFI menyebut " It is not permitted to link the charge to the amount withdrawn (given)" ( Shariah Standard, no 10/3/2, hlm 338). Ini adalah kerana peratusan yang dikaitkan dengan jumlah pinjaman ini menyebabkan jumlah kos pengurusan yang pada asalnya adalah sama (kerana menggunakan alatan dan system yang sama), menjadi berubah mengikut jumlah pinjaman yang diberi.

Inilah Riba yang berselindung di balik nama kos pengurusan dan ‘Qardul Hasan' namanya. Bayangkan, jumlah kos sebenar bagi sesuatu pinjaman yang diberikan kemungkinan hanya (sebagai contoh) sebanyak RM 500 bagi setiap transaksi komputer, peguam, cukai stamp dan lain-lain kos sebenar urusan pinjaman atas asas ‘Qardul Hasan'. Dalam keadaaan ini, sepatutnya sesiapa sahaja yang meminjam, tanpa mengira berapa pun jumlah pinjaman mereka maka akan dikenakan satu jumlah kos sebenar pengurusan yang tetap dan tepat iaitu RM 500.

Bagaimanapun, apabila diletakkan satu jumlah peratusan seperti 2 % dan lainnya. Jumlah kos pengurusan tadi sudah pasti akan berubah mengikut jumlah pinjaman yang diberi, tatkala itu kos pengurusan tidak lagi menjadi kos pengurusan tetapi menjadi kos faedah dan riba yang dikenakan bagi setiap sen duit atau wang yang dipinjamkan. Akhirnya, mesej yang ingin saya sampaikan dari tulisan kali ini tidak lain adalah untuk memastikan nama ‘Qardul Hasan' dan fatwa oleh ulama sedunia berkenaan keharusan kos pengurusan atas pinjaman tidak di salahkan gunakan atau di salah fahami.

Yang Sudah Berlalu & Alternatif

Bagi yang sudah terlepas. Wallahu ‘alam, mungkin anda boleh di anggap dalam situasi 'hajiat' ( keperluan yang agak mendesak bagi mencapai fardhu ‘ain dan Kifayah iaitu belajar) jika sememangnya tiada bantuan kewangan lain yang boleh diperolehi di ketika anda memohon. Wallahu a'lam.

Allah SWT telah menyebut dgn jelas ertinya : " Allah tidak membebankan seseorang perkara yang tidak tidak dimampuinya" Bilamana seseorang tiada jalan lain lagi yang boleh di perolehi untuk mendapatkan bantuan kewangan pelajarannya, cuma PTPTN saja yang layak (pinjaman PTPTN pula pula dibuat secara Riba), atau bagi sesiapa yang telah terlanjur terlibat dengan Riba ini, tidak banyak yang boleh saya nasihatkan kecuali bertawbat kepada Allah atas ketidakmampuan mengelak itu dan berdoa agar anda tidak di bebankan dengan dosa ini dengan hati yang tidak redha.

Mungkin ia boleh diqiyaskan kepada kisah sahabat yang mengucapkan kalimah kufur kerana terpaksa tetapi hatinya sentiasa beriman kepada Allah dan tidak redha dengan kalimah yang terpaksa di ucapkan itu. Bagaimanapun sahabat nabi tadi diancam dengan bunuh, manakala peminjam PTPTN diancam dengan tertutup peluang belajar ?. Adakah sama ?. Tidak juga, kerana belajar ilmu boleh didapati dalam pelbagai cara termasuk yang percuma seperti di web saya ini. Ringkasnya, memang sukar sebenarnya untuk mangangkat tangan mengatakan "saya dharurat ustaz" atau 'saya amat terdesak' sehingga terlibat. Lebih membimbangkan ada ura-ura untuk mewajibkan ibu bapa menjadi penjamin kepada pinjaman PTPTN si anak. Ini bermakna ibu bapa juga akan termasuk dalam kumpulan yang terlibat dengan riba dengan jaminannya.

Apapun, jika terlibat juga ia bukanlah dosa 100 % terhasil dari diri anda, tetapi pengurusan berwajib yang lebih besar tanggungannya di sisi Allah SWT. Bagaimanapun, inisiatif pengurusan PTPTN untuk mengubah cara pemberian bantuan yang selari dengan kehendak Islam dan bertepatan dengan agenda kerajaan "ISLAM HADARI" , boleh di puji, ia pasti dilihat oleh ALLAH swt sebagai satu azam kepada kebaikan. Cuma kita mengharapkan ia lebih dari azam lalu menjadi realiti. wallahu alam.

Saya amat memahami bahawa biasiswa dan zakat pula mungkin amat sukar untuk diperolehi. Apapun, sepatutnya di usahakan terlebih bantuan lain dahulu sebelum mengangkat tangan 'mengalah' dan mengambil yang riba. Bagi saya, adalah lebih baik bagi pelajar yang belajar di dalam Malaysia untuk membuat pinjaman tanpa faedah dengan ibu bapa atau adik beradiknya ( jika mereka orang mampu) dari membuat pinjaman PTPTN yang mengenakan % tertentu sebagaia 'kos perkhidmatan' kecuali jika anda belajar di luar negara yang kosnya terlalu tinggi.
Selain itu, ada beberapa buah bank Islam ada menawarkan pembiayaan pendidikan yang distruktur secara bai Inah. Adalah lebih baik untuk mendapatkan perkhidmatan ini dari terjebak dalam RIba walaupun mungkin kosnya lebih tinggi.

Saya juga ingin mencadangkan agar anda membuat surat memohon agar dihapuskan pembayaran 3 % itu kepada pihak PTPTN, sekiranya mereka luluskan. Alhamadulillah, sekiranya mereka tidak meluluskan, maka tanggung jawab yang sudah terlepas menggunakannya telah dikira terlepas.

Bagaimanapun, jika anda gagal mendapatkan rebate dari PTPTN, maka hutang tersebut masih wajib dibayar penuh menurut undang-undang Malaysia. Saya hanya mampu mencadangkan agar rayuan pelepasan dibuat sahaja. Lebih elok jika rayuan dibuat sambil menampilkan prestasi cemerlang di universiti, mungkin ada peluang untuk mendapat pelepasan sebagaimana jenis 'pinjaman boleh ubah', yang mana kos tamabahan itu boleh dihapuskan apabila pelajar mendapat skor tinggi.

Jika benar PTPTN ada menyediakan ruang bagi mereka yang skor untuk dihapuskan kso perkhidmatan riba itu. maka menajdi WAJIB bagi pelajar untuk meraih skor itu, tidak bersungguh bagi mendapatkannya akan dikira sebagai berdosa. Kerana ada peluang untuk elak , tetapi bermalasan untuk mencapainya. Selamat belajar dalam berkat Allah......
Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/

TAKWIM AKADEMIK UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS


 
P. M .S .U. P. S. I | TNB