Subscribe News Feed Subscribe Comments

PMS Official Friendster

PMS Official Friendster
Add Kami di Friendster

Renovasi blog untuk seminggu

Assalamualaikum. Penggunaan blog ini akan dtangguhkan buat sementara waktu kerana beberapa renovasi yang mlibatkan html blog ini akan dilakukan. Jadi diharap para pengunjung blog untuk melawati blog sementara persatuan di pmsainsupsi.blogspot.com. Maaf atas kerumitan.

Editor

PERUTUSAN PRESIDEN PERSATUAN MAHASISWA SAINS ke-3


Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera. Syukur kepada Allah s.w.t dengan limpah dan rahmatnya dapat kita bertemu kembali dalam semester pertama bagi sesi pengajian 2008/2009.

Cuti semester yang panjang sebelum ini semestinya menjanjikan pelbagai perkara dan pengalaman baru buat sahabat-sahabat sekalian. Tidak lupa kepada pemergian salah seorang sahabat Fakulti Sains dan Teknologi (FST) kita daripada jurusan kimia, Mohd Suhaimi Yusoff yang telah pulang kerahmatullah pada 8 Jun 2008 yang lalu. Al-fatihah buat Allahyarham, semoga Allahyarham ditempatkan dikalangan hamba-hambaNya yang soleh.

Selamat datang juga diucapkan kepada pelajar baru FST yang telah berjaya mendaftar baru-baru ini. Anda merupakan golongan yang terpilih setelah melalui beberapa peringkat ujian yang bukan sedikit bilangan yang memohon untuk memasuki ke universiti pembukitan ilmu ini. Justeru, anda seharuslah merasa bertuah kerana terpilih.

Dalam menelusuri semester baru ini, marilah sama-sama kita menetapkan azam dan matlamat baru kita dihadapan. Sentiasalah memandu hari-hari yang berjalan ini dengan matlamat kita itu, jangan sesekali terleka. Jika terleka, cepat-cepatlah kembali kepada jalan sebetulnya. Semoga hidayah Allah sentiasa memayungi kehidupan kita.

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,

Zaman globalisasi ini menyaksikan maklumat tersebar begitu luas melalui media massa yang tiada batasan jarak dan masa. Maklumat-maklumat yang diterima ini hendaklah ditapis dan diselidiki terdahulu sebelum kita mempercayai dan bertindak dengan kefahaman kita sendiri. Allah menyebut dalam al-Quran yang maksudnya :

“Wahai orang-orang yang beriman, jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan, yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu”
(Al-Hujurat, ayat 6)

Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa agar dijauhkan daripada sebarang fitnah akhir zaman ini, samada difitnah atau memfitnah. Rasulullah juga pernah bersabda, “Tidak akan masuk syurga orang yang suka memfitnah”. Sekali lagi saya ingatkan kepada diri saya sendiri dan sahabat-sahabat sekalian untuk terus berusaha bagi mencapai kecemerlangan bukan sahaja dalam akademik bahkan dalam pembentukan sahsiah dan peribadi kita terutamanya sebagai bakal pendidik generasi akan datang. Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Tengku Abdul Ghafar B Tengku Ahmad
Presiden,
Persatuan Mahasiswa Sains (PMS),
Universiti Pendidikan Sultan Idris
.

PTPTN, Status Shariah & Kos Perkhidmatan

Terlalu ramai yang bertanya kepada saya tentang PTPTN. Saya cuba mengelak dari membuat sebarang ulasan di dalam web saya kerana mendapat info bahawa mereka sedang dalam proses islamisasi produk mereka. Bagaimanapun demi, bersikap adil kepada hukum dan ilmu, saya tiada pilihan kecuali perlu menguraikannya demi menjawab persoalan orang yang-orang yang bertanya dengan adil.

Jawapan mudah saya, apa yang dilakukan dengan 3 % sebagai kos perkhidmatan adalah riba. Bagaimanapun saya mendapat tahu bahawa,pihak PTPTN sedang berusaha untuk mengubah kepada sistem Islam cuma masih gagal mengimplementasikannya disebabkan oleh masalah sistem pengkomputeran sedia ada dan lain-lain masalah yang tidak diketahui. Saya difahamkan beberapa pakar Shariah dan bank Islam di Malaysia telah membentangkan beberapa cadangan struktur pembiayaan pelajaran baru berlandas aqad Ijarah, Bai' dan lain-lain lagi. Bagaimanapun, banyak yang menemui jalan buntu dan sebahagiannya masih dalam proses penyemakan dan penilaian.

Dari sudut Shariah, 3 % yang diletakkan sebagai kos perkhidmatan itu adalah dianggap sebagai Riba. Tidak dinafikan bahawa para ulama sedunia telah meluluskan bahawa halal bagi sesuatu pinjaman yang dibuat atas asas Qardhul Hasan mengenakan sejumlah kos perkhidmatan kepada peminjam, bagaimanapun cara yang digunakan oleh PTPTN adalah tidak menepati fatwa tersebut.

Apa itu Qard

‘Qard' dari sudut definisinya bermaksud pertukaran atau perpindahan hak milik sesuatu aset atau wang dari pemilik asal kepada pihak lain dengan syarat, pihak lain itu berkewajiban memulangkan aset atau wang yang dipinjam tersebut atau yang sama nilainya pada kemudian hari.

Dalam kata lainnya, ia adalah satu jenis pemberian hutang dalam bentuk sejumlah wang atau pinjaman barangan seperti meminjamkan kereta atau telefon bimbit kepada orang lain dengan syarat ianya dipulangkan semula pada kemudian hari.

Pinjaman atau ‘Qard' dalam Islam adalah merupakan satu kontrak yang di asaskan atas dasar bantu membantu, sukarela (tabarru') dan belas kasihan kepada individu yang memerlukan (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/353). Atas sebab itu, Islam menyanjung tinggi amalan ini sehinggakan Nabi SAW bersabda : "Barangsiapa yang melepaskan satu kesukaran saudaranya, maka Allah akan melepaskan pelbagai kesukarannya di akhirat.." (Riwayat Muslim)

Sebuah lagi hadith menyebutkan kelebihan pinjaman tanpa faedah sebagaimana hadith berikut : Dari Anas ra berkata: " bersabda Rasulullah SAW, aku telah nampak pada malam aku diperjalankan (pada malam isra' mikraj), tertulis di pintu syurga : satu sedeqah dipergandakan pahalanya sebanyak sepuluh kali, manakala ‘qard' atau pinjaman tanpa faedah digandakan sebanyak lapan belas kali ganda..." (Riwayat Ibn Majah, 2/812)

Qard ( Pinjaman ) Tidak Boleh diJadikan Asas Perniagaan

Berdasarkan asas tersebut, kontrak pinjaman ini tidak sesekali boleh dijadikan sebagai alat untuk perniagaan atau meraih keuntungan di dalam Islam. Bagi memastikan objektif kebajikan dan bantuan dalam ‘Qard' tercapai, Islam meletakkan kewajiban , bagi setiap pinjaman wang (cth : RM 5000) mestilah dipulangkan pada kemudian hari dengan jumlah yang sama tanpa sebarang tambahan dan manfaat lain yang dipaksakan atau diipersetujui. Sekiranya terdapat sebarang tambahan (cth 3 % dari jumlah RM 5000 sebagai bunga atau manfaat lain), sepakat seluruh ulama menyebut ianya termasuk dalam kategori Riba an-Nasiah yang disepakati haramnya. (Al-Jami' fi Usul al-Riba, hlm 217).

Isu kos perkhidmatan dalam pinjaman

Sungguh ramai yang mengajukan pertanyaan kepada saya berkenaan hukum kos perkhidmatan dan pengurusan yang dikenakan bagi pinjaman yang diberikan. Terdapat beberapa pihak yang cuba mengenalkan produk pinjaman yang bersifat Islam serta diberi nama "Qardhul Hasan". Istilah ‘Qardhul Hasan' merujuk kepada pinjaman tanpa sebarang faedah, ertinya peminjam hanya perlu membayar wang modal yang dipinjamnya sahaja tanpa sebarang penambahan. Ia dikira sebagai salah satu bentuk ibadat yang amat digalakkan kerana sifatnya yang membantu melepaskan orang lain dari kesukaran dan keperluan mendesak tanpa mengambil sebarang peluang atas kesusahan orang lain dengan mengenakan ‘bunga', faedah atau riba.

Walau bagaimanapun, implementasi ‘Qardul Hasan' ini kerap kali tersasar dari tujuan dan konsep asal pinjaman bersifat kebajikan hingga menjadi dwi tujuan, iaitu untuk bantuan dan meraih keuntungan disebalik nama kos perkhidmatan dan pengurusan agar ia menjadi ‘Halal' kononnya.

Sebelum membincangkan soal kos perkhidmatan ini, terlebih dahulu saya ingin membawakan keputusan Persidangan ulama antarabangsa di bawah AAOIFI (http://www.aaoifi.com) menyatakan bahawa semua faedah atau lebihan (dari jumlah yang diberi pinjam) yang telah dipersetujui atau disyaratkan di dalam kontrak atau ‘aqad' pinjaman dibuat di awal kontrak atau dikenakan ketika kelewatan pembayaran balik pinjaman sama ada dalam bentuk wang, barangan dan apa-apa manfaat adalah di larang sama sekali dan ia adalah Riba. (Shariah Standard, AAOIFI, hlm 336)

Adapun dalam hal kos perkhidmatan, Majlis Shariah AAOIFI dan hasil Keputusan Kesatuan Fiqh Islam Sedunia (dalam sidangnya yang ketiga pada 1986 M) berpendapat DIBENARKAN untuk mengenakan kos perkhidmatan dengan syarat ianya ADALAH KOS SEBENAR. Resolusi mereka juga menyebut, adalah HARAM untuk mengenakan kos yang lebih dari kos sebenar, justeru para Ulama dari persidangan tadi mewasiatkan agar cara untuk mengira dibuat setepat dan sebaiknya. Selain itu, keputusan mereka juga menyebut bahawa kos-kos tidak lansung seperti gaji pekerja, sewaan tempat dan tanggungan lain-lain sesebuah institusi itu tidak boleh dimasukkan di dalam kos pengurusan sebenar bagi sesebuah pinjaman. (Shariah Standard, AAOIFI, no 9/1, hlm 337)

Hasilnya, perlu kita fahami bahawa sebarang kos perkhidmatan dan pengurusan yang diletakkan seperti 2 %, 3 % atau 4 % dari jumlah pinjaman dengan hujjah bahawa ianya adalah kos pengurusan adalah tidak boleh diterima sama sekali. Ini adalah bentuk yang dilakukan oleh PTPTN dan lain-lain institusi yang melakukannya.

Majlis Penasihat Shariah Dunia di AAOIFI menyebut " It is not permitted to link the charge to the amount withdrawn (given)" ( Shariah Standard, no 10/3/2, hlm 338). Ini adalah kerana peratusan yang dikaitkan dengan jumlah pinjaman ini menyebabkan jumlah kos pengurusan yang pada asalnya adalah sama (kerana menggunakan alatan dan system yang sama), menjadi berubah mengikut jumlah pinjaman yang diberi.

Inilah Riba yang berselindung di balik nama kos pengurusan dan ‘Qardul Hasan' namanya. Bayangkan, jumlah kos sebenar bagi sesuatu pinjaman yang diberikan kemungkinan hanya (sebagai contoh) sebanyak RM 500 bagi setiap transaksi komputer, peguam, cukai stamp dan lain-lain kos sebenar urusan pinjaman atas asas ‘Qardul Hasan'. Dalam keadaaan ini, sepatutnya sesiapa sahaja yang meminjam, tanpa mengira berapa pun jumlah pinjaman mereka maka akan dikenakan satu jumlah kos sebenar pengurusan yang tetap dan tepat iaitu RM 500.

Bagaimanapun, apabila diletakkan satu jumlah peratusan seperti 2 % dan lainnya. Jumlah kos pengurusan tadi sudah pasti akan berubah mengikut jumlah pinjaman yang diberi, tatkala itu kos pengurusan tidak lagi menjadi kos pengurusan tetapi menjadi kos faedah dan riba yang dikenakan bagi setiap sen duit atau wang yang dipinjamkan. Akhirnya, mesej yang ingin saya sampaikan dari tulisan kali ini tidak lain adalah untuk memastikan nama ‘Qardul Hasan' dan fatwa oleh ulama sedunia berkenaan keharusan kos pengurusan atas pinjaman tidak di salahkan gunakan atau di salah fahami.

Yang Sudah Berlalu & Alternatif

Bagi yang sudah terlepas. Wallahu ‘alam, mungkin anda boleh di anggap dalam situasi 'hajiat' ( keperluan yang agak mendesak bagi mencapai fardhu ‘ain dan Kifayah iaitu belajar) jika sememangnya tiada bantuan kewangan lain yang boleh diperolehi di ketika anda memohon. Wallahu a'lam.

Allah SWT telah menyebut dgn jelas ertinya : " Allah tidak membebankan seseorang perkara yang tidak tidak dimampuinya" Bilamana seseorang tiada jalan lain lagi yang boleh di perolehi untuk mendapatkan bantuan kewangan pelajarannya, cuma PTPTN saja yang layak (pinjaman PTPTN pula pula dibuat secara Riba), atau bagi sesiapa yang telah terlanjur terlibat dengan Riba ini, tidak banyak yang boleh saya nasihatkan kecuali bertawbat kepada Allah atas ketidakmampuan mengelak itu dan berdoa agar anda tidak di bebankan dengan dosa ini dengan hati yang tidak redha.

Mungkin ia boleh diqiyaskan kepada kisah sahabat yang mengucapkan kalimah kufur kerana terpaksa tetapi hatinya sentiasa beriman kepada Allah dan tidak redha dengan kalimah yang terpaksa di ucapkan itu. Bagaimanapun sahabat nabi tadi diancam dengan bunuh, manakala peminjam PTPTN diancam dengan tertutup peluang belajar ?. Adakah sama ?. Tidak juga, kerana belajar ilmu boleh didapati dalam pelbagai cara termasuk yang percuma seperti di web saya ini. Ringkasnya, memang sukar sebenarnya untuk mangangkat tangan mengatakan "saya dharurat ustaz" atau 'saya amat terdesak' sehingga terlibat. Lebih membimbangkan ada ura-ura untuk mewajibkan ibu bapa menjadi penjamin kepada pinjaman PTPTN si anak. Ini bermakna ibu bapa juga akan termasuk dalam kumpulan yang terlibat dengan riba dengan jaminannya.

Apapun, jika terlibat juga ia bukanlah dosa 100 % terhasil dari diri anda, tetapi pengurusan berwajib yang lebih besar tanggungannya di sisi Allah SWT. Bagaimanapun, inisiatif pengurusan PTPTN untuk mengubah cara pemberian bantuan yang selari dengan kehendak Islam dan bertepatan dengan agenda kerajaan "ISLAM HADARI" , boleh di puji, ia pasti dilihat oleh ALLAH swt sebagai satu azam kepada kebaikan. Cuma kita mengharapkan ia lebih dari azam lalu menjadi realiti. wallahu alam.

Saya amat memahami bahawa biasiswa dan zakat pula mungkin amat sukar untuk diperolehi. Apapun, sepatutnya di usahakan terlebih bantuan lain dahulu sebelum mengangkat tangan 'mengalah' dan mengambil yang riba. Bagi saya, adalah lebih baik bagi pelajar yang belajar di dalam Malaysia untuk membuat pinjaman tanpa faedah dengan ibu bapa atau adik beradiknya ( jika mereka orang mampu) dari membuat pinjaman PTPTN yang mengenakan % tertentu sebagaia 'kos perkhidmatan' kecuali jika anda belajar di luar negara yang kosnya terlalu tinggi.
Selain itu, ada beberapa buah bank Islam ada menawarkan pembiayaan pendidikan yang distruktur secara bai Inah. Adalah lebih baik untuk mendapatkan perkhidmatan ini dari terjebak dalam RIba walaupun mungkin kosnya lebih tinggi.

Saya juga ingin mencadangkan agar anda membuat surat memohon agar dihapuskan pembayaran 3 % itu kepada pihak PTPTN, sekiranya mereka luluskan. Alhamadulillah, sekiranya mereka tidak meluluskan, maka tanggung jawab yang sudah terlepas menggunakannya telah dikira terlepas.

Bagaimanapun, jika anda gagal mendapatkan rebate dari PTPTN, maka hutang tersebut masih wajib dibayar penuh menurut undang-undang Malaysia. Saya hanya mampu mencadangkan agar rayuan pelepasan dibuat sahaja. Lebih elok jika rayuan dibuat sambil menampilkan prestasi cemerlang di universiti, mungkin ada peluang untuk mendapat pelepasan sebagaimana jenis 'pinjaman boleh ubah', yang mana kos tamabahan itu boleh dihapuskan apabila pelajar mendapat skor tinggi.

Jika benar PTPTN ada menyediakan ruang bagi mereka yang skor untuk dihapuskan kso perkhidmatan riba itu. maka menajdi WAJIB bagi pelajar untuk meraih skor itu, tidak bersungguh bagi mendapatkannya akan dikira sebagai berdosa. Kerana ada peluang untuk elak , tetapi bermalasan untuk mencapainya. Selamat belajar dalam berkat Allah......
Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/

TAKWIM AKADEMIK UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS


Sains buktikan sembelihan Islam kaedah terbaik


Barat termasuk aktivis hak asasi haiwan menganggap perbuatan menyembelih haiwan yang dilakukan umat Islam mempamerkan sikap tidak berperikemanusiaan kerana banyak darah tertumpah ke bumi terutama ketika amalan korban pada Aidiladha. Malah, ketika kempen keganasan sibuk dilancarkan oleh Barat, mereka menggunakan alasan amalan korban ini sebagai satu daripada hujah mereka bagi membuktikan betapa Islam mengajar umatnya menjadi ganas.

Di Barat, undang-undang mereka memperuntukkan supaya haiwan dikenakan kejutan elektrik di kepala sebelum dibunuh, kononnya bagi memastikan haiwan itu pengsan terlebih dulu sebelum ia dibunuh. Selain itu, kononnya tindakan mereka itu bertujuan untuk menghalang binatang berasa sakit sebelum ia mati. Tetapi sekali lagi apakah pandangan Barat ini benar? Pendirian Islam mengenai apa yang boleh dimakan dan apa yang diharamkan adalah jelas terutama membabitkan daging.

Dalam Surah al-Maidah ayat 5, Allah menyatakan:

“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala.” (Tafsir al-Rahman, Jakim).

Selain itu, Islam juga mengharamkan memakan daging haiwan tanpa disembelih seperti mencucuk leher, menghempap dengan batu atau cara selain daripada sembelihan.
Islam mengajar supaya sembelihan dilakukan dengan pisau tajam bagi memotong bahagian leher untuk memutuskan dua urat utama atau urat mareh. Kaedah ini dikaji pakar Jerman.

Pakar itu, Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya, Dr Hazim di Sekolah Perubatan Veterinar, Universiti Hannover, Jerman, mencari kaedah terbaik proses mematikan haiwan bagi mendapatkan daging yang bersih dan segar. Kajian itu bertajuk, `Cubaan untuk mengesan kesakitan dan rasa sedar mengikut kaedah konvensional dan agama ketika menyembelih lembu atau kambing’, menyimpulkan kaedah Islam terbaik kerana lebih berperikemanusiaan.

Mereka menyimpulkan bahawa amalan mengenakan kejutan elektrik ke atas haiwan sebelum dibunuh seperti yang diamalkan oleh Barat, mendatangkan kesakitan yang amat sangat pada haiwan.Dalam kajian itu, beberapa alat pengesan dipasang di pelbagai tempat pada otak haiwan. Alat itu dimasukkan menerusi pembedahan khas dan haiwan terbabit dibiarkan untuk pulih selama beberapa minggu. Beberapa ekor haiwan itu disembelih mengikut kaedah Islam menggunakan tindakan pantas, memotong urat leher dengan pisau tajam. Beberapa ekor haiwan lain dibunuh mengikut kaedah barat menggunakan Pistol Kejutan (CBP).

Ketika ujian dijalankan, rekod electroencephalograph (EEG) dan electrocardiogram (ECG) dicatatkan bagi mengetahui keadaan otak dan jantung semua haiwan terbabit ketika proses penyembelihan dan kaedah CBP.Hasil ujian mendapati menurut kaedah Islam, tiga saat pertama ketika disembelih, EEG tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum penyembelihan.

Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak berasa sebarang kesakitan ketika atau sebaik saja pisau memotong urat leher terbabit. Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak darah mengalir keluar dari badan. Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar, menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan. Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan, menurut penyelidikan itu.

Bagaimanapun, ketika mengkaji kaedah CBP, haiwan dikesan terus pengsan sebaik saja menerima tembakan CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat sakit pada haiwan itu. Jantung haiwan itu berhenti berdenyut lebih awal selepas terkena kejutan berbanding haiwan yang disembelih. Keadaan itu menyebabkan banyak darah masih terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak selamat untuk dimakan.

Kajian terbaru juga menunjukkan kaedah mematikan haiwan yang digunakan oleh Barat dan bukan Islam, turut dikatakan menjadi punca kepada penularan wabak penyakit lembu gila daripada haiwan kepada manusia. Kaitan ini didedahkan menerusi kajian yang dijalankan oleh Universiti Texas A&M dan Agensi Pemeriksaan Makanan Kanada. Ia menyatakan, kaedah kejutan pneumatik (iaitu menembak bola besi ke otak lembu diikuti dengan mengenakan tekanan udara tinggi) menyebabkan kerosakan tisu otak serta saraf tunjang haiwan itu.

Laporan ini amat menggemparkan kerana tisu otak dan saraf tunjang adalah bahagian yang paling terjejas teruk kerana dijangkiti penyakit lembu gila dan apabila ia hancur akibat kaedah berkenaan, bakteria serta protein penyakit lembu gila akan merebak ke daging. Malah, lebih menggemparkan, kaedah ini digunakan ke atas 30 hingga 40 peratus lembu yang dimatikan untuk diambil dagingnya di Amerika Syarikat. Malah, kajian lain yang dijalankan di seluruh dunia juga mendapati daging menjadi lebih lembut berbanding daging yang tidak disembelih menurut Islam seperti ujian yang dijalankan ke atas ayam sembelih dan tidak sembelih. Kajian terbabit jelas membuktikan bahawa penyembelihan menurut kaedah Islam adalah cara yang terbaik bukan saja untuk kebaikan haiwan itu sendiri tetapi juga memberi manfaat kesihatan kepada manusia. Selain itu, Islam mengenakan beberapa langkah lain bagi memastikan penyembelihan ini dapat disempurnakan dengan lebih baik.

Dalam aspek ini, Nabi Muhammad SAW pernah mengarahkan supaya sentiasa belas kasihan terhadap haiwan dengan memastikan pisau yang digunakan benar-benar tajam bagi mengurangkan rasa sakit. Islam menjelaskan, proses menyembelih perlu dilakukan dengan pantas bagi memutuskan salur darah ke saraf otak kerana saraf ini yang menghantar mesej kesakitan kepada otak. Dengan itu, haiwan tidak akan berasa sakit ketika disembelih. Pergerakan dan kekejangan yang berlaku selepas haiwan itu disembelih, bukan akibat kesakitan tetapi akibat denyutan diikuti keadaan tenang. Proses itu menyebabkan darah dikeluarkan dari badan sepenuhnya, kata Dr Aisha El-Awady, yang menulis dalam Islamonline pada 2003.

Selain itu, Sunnah Nabi Muhammad SAW juga menegaskan, adalah tidak wajar seseorang penyembelih, menajamkan pisaunya di depan haiwan yang akan disembelih atau menyembelih seekor haiwan itu di depan haiwan lain. Menjelaskan lagi proses penyembelihan Islam, Dr Aisha menyatakan, kaedah Islam juga memastikan saluran udara, kerongkong dan dua urat leher dipotong tanpa menjejaskan saraf tunjang.

“Kaedah ini membolehkan darah keluar membuak-buak dari badan haiwan dan menghasilkan daging yang bersih.

“Jika saraf tunjang terputus, fiber saraf ke jantung akan rosak menyebabkan jantung terhenti dan darah akan terkumpul di dalam daging. Darah perlu dikeluarkan sepenuhnya sebelum kepala dicerahkan. Keadaan ini akan membersihkan daging itu kerana darah bertindak sebagai perantara kepada mikro organisma,” kata Aisha dalam kajiannya.

Dengan bukti ini, seharusnya aktivis hak asasi Barat berkempen supaya menggunakan kaedah Islam ketika proses penyembelihan serta mensasarkan kecaman mereka terhadap kaedah selain daripada Islam yang terbukti kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Oleh: Meor Hisham Zulkifli

Senandung Kasih Buat Allayarham Suhaimi

Mari kita sama-sama sedekahkan al-Fatihah kepada sahabat kita Allayarham Mohd Suhaimi Bin Yusof dari major kimia yang telah pulang kerahmatullah pada bulan Jun yang lepas. Dalam tulisan ini, izinkan editor untuk mengimbau sedikit kenangan bersama Allayarham selama beliau berada di UPSI.

Pertemuan pertama di kafe KUO

Mohd Suhaimi adalah antara sahabat awal editor selain tuan presiden kita tengku abdul ghaffar. Pada tahun pertama lagi kami bertiga ibarat adik-beradik. Dari tahun pertama hingga ke tahun ke tiga di UPSI, banyak cabaran telah kami tempuhi bersama. Beliau amat berbakat dalam bidang seni suara dan kami telah bersama-sama menubuhkan kumpulan nasyid sulung yang terdiri dari pelajar pendidikan sains iaitu nahwand nida'. Apa yang menarik berkenaan Allayarham ialah beliau seolah tidak suka untuk berkongsi masalahnya dengan sahabat yang lain. Itu yang membuatkan editor dan saudara tengku tidak berpuas hati dengannya. Tapi walau macam tu pun perangainya, beliau tetap kami anggap macam adik beradik kami sendiri.

Kumpulan Nasyid Nahwand Nida' di awal penubuhan
Dari kiri: Azizi, Raimi(presiden MPP sekarang), Kamarulzaman, Allayarham Suhaimi, Asyraf dan Editor

Beliau banyak memberikan jasa kepada sahabat yang lain. Bayangkan masa tahun pertama lagi laptopnya ibarat laptop editor sendiri sedangkan laptopnya waktu itu amat mahal dan baru sahaja dibeli. Sekiranya ada hutang yang tak terbayar, harap dihalalkan.Akhir kata, editor mewakili pihak persatuan mahasiswa sains mengucapkan takziah kepada keluarga serta siapa sahaja yang terasa pemergiannya dan marilah bersama kita mendoakan Allayarham ditempatkan disyurga sepertimana para solihin. Amiiin.


Kau Sahabat Kau Teman

Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami
Kerana takdir yang Maha Esa telah menetapkan
Sedih rasanya hati ini bila mngenangkan
Kau sahabatku kau teman sejati

Tulus ikhlasmu luhur budimu bagai tiada pengganti
Senyum tawamu juga katamu menghiburkan kami
Memori indah kita bersama terus bersemadi
Kau sahabatku kau teman sejati

Sudah ditakdirkan kau pergi dulu
Di saat kau masih diperlukan
Tuhan lebih menyayangi dirimu
Ku pasrah diatas kehendak yang Esa

( korus )
Ya Allah,tempatkannya di tempat yang mulia
Tempat yang kau janjikan nikmat untuk hamba Mu
Sahabatku akan ku teruskan perjuangan ini
Walau ku tahu kau tiada di sisi

Perjuangan kita masih jauh beribu batu
Selagi roh masih di jasad hidup diteruskan
Sedih rasa hati ini mengenangkan dikau
Bagai semalam kau bersama kami

( korus ) Moga amanlah dan bahagia dikau di sana
Setangkai doa juga Fatehah terus kukirimkan
Moga di sana kau bersama para solehin
Ku sahabatku kau teman sejati

Kepada Allahyarham Suhaimi Yusuf
Sahabat dan teman seperjuangan...

Perutusan Presiden 1


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya kita memasuki semester kedua dalam pengajian 2007/2008 kali ini.

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,

Pembudayaan tradisi ilmu dalam diri mahasiswa merupakan suatu perkara yang perlu diberi perhatian bagi mereka yang bergelar mahasiswa. Tradisi ini perlu dipelihara dan dipupuk dengan sebaik mungkin agar nilai-nilai keintelektualan dan rasa kepedulian mahasiswa dapat disemai dengan subur dan seterusnya menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat dan negara. Perkara ini sangat bertepatan dengan hasrat yang dicanangkan dalam falsafah Universiti Pendidikan Sultan Idris yang menitikberatkan lapan elemen, iaitu Keimanan, Keilmuan, Kebudayaan, Ketamadunan, Kemanusiaan, Kemasyarakatan, Kenegaraan dan Kecemerlangan. Sebarang pencemaran terhadap kesuburan dan kebersihan budaya ilmu di UPSI bukan sahaja mencacatkan pemikiran mahasiswa tetapi juga merendahkan martabat universiti sebagai perbukitan ilmu. Penganjuran program-program yang bersifat merosakkan pemikiran dan mencabar falsafah universiti perlu diteliti dengan telus, jujur, tegas dan berani supaya matlamat kita untuk membina modal insan yang berkualiti dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kita tidak mahu modal haiwan atau modal picisan. Aksi liar dan pergaulan bebas mahasiswa yang melampau dalam konsert-konsert yang dianjurkan bukan sahaja menghasilkan masalah lanjutan yang lain seperti perzinaan bahkan membuktikan mahasiswa menyokong elemen yang merosakkan sistem sosial dalam masyarakat.

Atas kesedaran itu, marilah kita bersama-sama menghayati dan memikirkan kembali peranan kita dengan hati yang telus dan jujur selama kita bertapak di bumi UPSI ini.

Akhir kata, selamat menghadapi peperiksaan pertengahan semester dan selamat memilih pemimpin yang beramanah dalam pilihanraya umum ke-12 ini. Selain itu, jangan lupa untuk menyokong usaha dan program Persatuan Sains yang kami anjurkan. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

TG ABD GHAFAR TG AHMAD

PRESIDEN



PERSATUAN SAINS

http://musliminsejati.blogspot.com

Selamat Datang Ke Blog pmsupsi

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua sahabat pendidikan sains yang mengunjungi laman blog ini. Untuk makluman sahabat-sahabat semua blog ini secara rasminya akan menjadi antara lidah rasmi Persatuan Mahasiswa Sains UPSI, PMSUPSI dalam menjaga kebajikan pelajar pendidikan sains di UPSI. Dalam pada itu, blog ini akan dijadikan sebagai medan perkongsian maklumat terkini berkaitan dunia pelajar universiti secara umumnya dan pelajar pendidikan sains secara khususnya. Blog ini terbuka kepada semua pelajar dan pensyarah pendidikan sains dan saya sebagai editor untuk blog ini amat mengalu-alukan penglibatan sahabat-sahabat semua dalam memberikan sumbangan berbentuk penulisan untuk kami paparkan dalam blog ini dan dikongsikan bersama para pelajar pendidikan sains UPSI. Akhir kata, semoga blog ini dapat digunakan dengan sebaiknya dalam meningkatkan nilai kebajikan dan keintelektualan pelajar pendidikan sains. Sekian.

Editor Blog
Max_steel86
 
P. M .S .U. P. S. I | TNB