Subscribe News Feed Subscribe Comments

PMS Official Friendster

PMS Official Friendster
Add Kami di Friendster

Diabetes di kalangan Kanak-Kanak & Remaja

Pengenalan

Diabetes merupakan penyakit kronik yang boleh menyerang tanpa mengira peringkat umur termasuk bayi, kanak-kanak atau remaja. Di kalangan kanak-kanak, sekiranya penyakit ini tidak dikesan pada peringkat awal ia boleh menyebabkan komplikasi yang teruk termasuklah kerosakan otak. Kadangkala diabetes di kalangan kanak-kanak sering kali tidak diberi perhatian yang serius dan selalu di diagnosa sebagai selesema atau dibiarkan sahaja.

Tanda dan Gejala

Semua pihak seperti ibu bapa, guru sekolah, kakitangan kesihatan atau mana-mana pihak yang terlibat dalam penjagaan kanak-kanak perlu mengetahui dan peka kepada tanda-tanda penyakit diabetes.


Di antara tanda-tanda penyakit diabetes ialah:

* Kerap kencing terutama pada waktu malam
* Sentiasa dahaga
* Sentiasa lapar
* Hilang berat badan
* Kelesuan
* Hilang tumpuan
* Penglihatan yang tidak jelas
* Muntah-muntah dan sakit perut

(Tanda-tanda ini mungkin kurang atau tiada langsung di kalangan kanak-kanak yang mengidap diabetes jenis II)

Apakah Insulin


Insulin ialah sejenis hormon yang dikeluarkan oleh pankreas yang terletak di belakang perut. Di dalam perut makanan yang dimakan akan ditukarkan menjadi glukosa yang kemudiannya akan diserap ke dalam saluran darah untuk digunakan oleh tubuh badan bagi mengeluarkan tenaga. Bagi orang yang normal, insulin membantu glukosa darah memasuki sel badan dan menukarkannya menjadi tenaga.

Bagi pesakit diabetes, pankreas tidak dapat mengeluarkan insulin secukupnya atau insulin yang dikeluarkan tidak berkesan. Akibatnya, glukosa tidak dapat masuk ke dalam sel badan dan terkumpul di dalam darah yang kemudiannya menyebabkan parasnya meningkat tinggi sehingga melimpah ke dalam air kencing.

Diabetes Jenis I dan II

Diabetes Jenis I merupakan penyakit autoimmune yang tidak dapat dielakkan. Penyakit ini sering berlaku di kalangan kanak-kanak dan hanya boleh dikawal dengan suntikan insulin, kawalan pemakanan dan senaman. Dilaporkan terdapat 500,000 kanak-kanak di seluruh dunia mengidap diabetes Jenis I ini.

Diabetes Jenis II pula selalunya berlaku di kalangan orang yang berumur 40 tahun ke atas serta mengalami masalah berat badan berlebihan atau mempunyai sejarah keluarga yang mengidap diabetes. Walau bagaimanapun, masalah berat badan dan cara hidup sedentari di kalangan kanak-kanak telah menyebabkan jumlah pesakit kanak-kanak dengan Diabetes Jenis II meningkat. Penyakit ini hanya boleh dikawal melalui pemakanan dan senaman atau gabungan pemakanan, senaman serta ubat-ubatan.

Hari Diabetes Sedunia

Hari Diabetes Sedunia disambut pada 14 November 2008 dengan tema “Diabetes di kalangan Kanak-kanak dan Remaja” diadakan dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang tanda-tanda diabetes di kalangan kanak-kanak serta mempromosikan cara hidup yang sihat di kalangan kanak-kanak.

Sumber Rujukan: Kementerian Kesihatan Malaysia




editor: Suara Reformasi

0 comments:

 
P. M .S .U. P. S. I | TNB