Subscribe News Feed Subscribe Comments

PMS Official Friendster

PMS Official Friendster
Add Kami di Friendster

PIPP Jana Tenaga Sumber Manusia

GENTING HIGHLANDS 25 Nov. - Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta golongan guru menjadikan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) sebagai satu mekanisme yang boleh digunakan dalam menjana proses pembangunan sumber manusia.

Menurutnya, negara tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya pada sumber asli dan bahan mentah tetapi perlu memfokuskan kepada aset sumber manusia yang terhasil daripada sistem pendidikan.

''Kita berpeluang mencapai kemajuan dengan cepat kerana Malaysia sudah mempunyai sistem pendidikan dan persekolahan yang baik, oleh itu kelebihan ini perlu digembleng secara bersepadu menerusi pelaksanaan PIPP,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Konvensyen Nasional Kedua PIPP di Institut Aminuddin Baki (IAB) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang.

Dalam menjayakan pelaksanaan PIPP, Hishammuddin mengakui beberapa elemen penting seperti akses dan ekuiti perlu diberi penekanan supaya peluang pendidikan dapat dibuka kepada semua golongan.



''Masalah kemiskinan dan faktor lokasi sering menjadi penghalang kepada asas kecemerlangan pelajar kita terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

''Adakah mereka juga mempunyai keyakinan yang sama untuk turut bersaing jika berpeluang mendapat pendidikan seperti pelajar di bandar walaupun mendapat kemudahan yang lengkap,'' ujarnya.

Selain itu, beliau juga mahu kecekapan dalam sistem penyampaian ditingkatkan di semua peringkat dan bahagian.

''Pemimpin atau pengurus pendidikan perlu bijak memperkenalkan inovasi terbaru dalam sistem penyampaian untuk disalurkan kepada mereka yang berada di peringkat bawahan,'' katanya.

Menurutnya, identiti negara bangsa juga perlu diterapkan di dalam konsep pelaksanaan PIPP kerana ia mampu melahirkan masyarakat yang bersatu padu.

Hadir sama pada konvensyen empat hari bermula semalam itu ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom.

Dianggarkan seramai 200 peserta dari peringkat Kementerian Pelajaran, Jabatan pendidikan negeri serta daerah dan institusi-institusi pendidikan hadir ke konvensyen tersebut.

Pada majlis itu, Zulkurnain turut melancarkan buku Modal Insan Cemerlang: Minda Kelas Pertama yang dihasilkan oleh kakitangan IAB.

0 comments:

 
P. M .S .U. P. S. I | TNB